Ikan Empurau
SEBUT sahaja nama ikan empurau, pasti ramai kaki pancing di negeri Sarawak mula terbayang-bayang rezeki lumayan yang bakal dituai.
Ini kerana, habuan yang diperoleh daripada ‘raja ikan sungai’ itu pasti memberi pulangan lumayan kepada mana-mana kaki pancing yang bertuah mendaratkan ikan bernilai tinggi tersebut.
Tidak cukup dengan itu, ada kaki pancing menyifatkan kejayaan menangkap ikan empurau yang membiak dalam habitat tersendiri iaitu di lokasi terpencil di hulu-hulu sungai diibaratkan sebagai baru lulus lesen sebagai pemancing tegar.
Justeru, tidak dapat disangkal lagi empurau atau nama saintifiknya tor tambroides merupakan ikan eksotik yang sememangnya cukup terkenal dalam kalangan kaki pancing disebabkan nilainya yang tinggi.
Situasi ini menyebabkan ikan empurau kini menjadi buruan ramai, malah ada yang berani mencuba nasib untuk membiaknya secara komersial kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan.
Empurau merupakan ikan daripada spesies kelah, namun yang membezakannya dengan kelah di Semenanjung adalah terdapat lebihan cuping panjang di bawah mulutnya.
Bukan omongan kosong, ikan empurau mempunyai nilai komersial yang tinggi dengan harga antara RM500 hingga RM1,000 sekilogram di pasaran tempatan pada masa kini.
Saintis Alam Sekitar, Dr. Elli Luhat berkata, empurau bukan calang-calang ikan kerana ia bukan sahaja dianggap sebagai ‘raja ikan sungai’, malah dilabel sebagai ikan untuk orang kaya sahaja.
Habitat
Katanya, kaki pancing yang bernasib baik menangkap empurau sanggup menjual ikan itu daripada memakannya kerana mereka pasti menuai ‘durian runtuh’ hasil daripada jualan ikan tersebut.
Habibat utama ikan empurau di Sarawak ialah di Kapit, Belaga, Limbang dan Lawas. Ikan ini lazimnya membiak di dalam air tawar yang bersih tanpa keladak dengan dasar sungai yang berbatu.
Ikan ini juga memerlukan habitat yang sunyi untuk membiak disebabkan ia begitu sensitif terhadap pencemaran. Pembiakannya juga akan terjejas sekiranya terdapat unsur-unsur pencemaran sungai.